Pendapat Kritis

RSS Feed


  • Imbas kembali tahun 2008

    Tahun 2008 M akan berakhir dalam beberapa jam lagi dan tahun baru 2009 M akan menjelang tiba. Sebelum ini kita sudah pun merayakan tahun baru Hijrah dan anda barangkali sudah menjadi pembaca tetap blog ini. Tamatlah sudah Cabaran Blogging 2008 yang disyorkan oleh Rohaizad sebelum ini dan saya merasakan bahawa saya telah berjaya melakukannya, walaupun ada beberapa hari yang terlepas atas sebab-sebab tertentu. Mengambil kesempatan ini, saya akan imbas kembali apa yang telah ditulis pada bulan-bulan sebelumnya.

    Banyak perubahan telah berlaku kepada saya dan keluarga sepanjang tahun 2008. Saya sendiri telah memulakan blog ini pada 12 Jun 2008, iaitu tujuh bulan sebelum ini. Saya pertama kali bertemu dengan blogger di sebalik tabir Rohaizad.com pada bulan itu juga. Saya juga kehilangan seorang ahli keluarga apabila mendapat berita bahawa nenek saya meninggal dunia tetapi saya juga bersyukur kerana selamat mengalami peralihan daripada status “bujang” kepada “tunang” secara rasmi apabila bertunang dengan seorang gadis manis dari Pontian. Disebabkan hati saya tertawan melihatnya, saya juga telah membelikan cincin pertunangan untuknya. Ini sebenarnya adalah suatu motivasi untuk diri saya supaya bekerja keras menjana wang secara online dan untuk menuju ke arah itu, sebuah syarikat milik persendirian telah ditubuhkan. Ada beberapa projek peribadi yang saya telah hidupkan semula sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang ini.

    Isu-isu agama pula telah disensasikan sepanjang tahun 2008 dan diambil kesempatan oleh sesetengah pihak untuk mengelirukan umat Islam, terutamanya di Malaysia. Kita disajikan dengan fatwa mengharamkan yoga yang secara asasnya adalah betul kerana ia melibatkan perkara-perkara syirik. Namun ada pihak yang cuba mempertikaikan kesahihan fatwa ini dan mahu menjadi penyibuk. Jangan kita lupa dengan hukum mengucapkan “Selamat Hari Natal”. Bukan setakat itu sahaja, malah Jawi juga dipolemikkan oleh pihak-pihak tertentu yang jelas Islamfobia mereka. Bercakap mengenai Islamfobia pula, kita digemparkan dengan kes Surind yang menghina ibadah haji dengan cara yang begitu memualkan sekali. Suatu laporan polis telah pun dibuat terhadapnya dan kita hanya menunggu tindakan terhadap pihak berkuasa. Kita juga berharap agar suatu tindakan yang konkrit dapat diambil terhadap orang yang menyamar sebagai Adibah Ahmad dan memuatkan lukisan-lukisan yang menghina Rasulullah s.a.w. dengan menyamakan baginda s.a.w. dengan anjing dan babi. Penjelasan yang dibuat oleh seorang rakan Adibah Ahmad yang sebenar telah membersihkan nama Adibah Ahmad daripada dikaitkan dengan manusia yang tiada akal ini.

    Bagaimana pula dengan imbas kembali berita-berita politik tempatan dan dunia? Tahun 2008 merupakan tahun yang amat cemerlang bagi gerakan politik Islam di Malaysia. Sebagai seorang ahli PAS bernombor 824331 yang telah berdaftar dengan parti, tentunya saya gembira dengan kejayaan pada 8 Mac yang lepas di mana lima buah negeri telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Kita sudah maklum dengan maksud B.N. yang pelbagai dan Perdana Menteri yang paling lemah dalam sejarah Malaysia akan “bersara” tidak lama lagi. Saiful Bukhari menggemparkan rakyat Malaysia dengan tuduhan palsunya terhadap DSAI dengan mendakwa bahawa beliau telah diliwat oleh Datuk Seri. Namun ini tidak menghalang DSAI daripada memasuki Parlimen semula setelah memenangi pilihanraya kecil P44 Permatang Pauh. Mungkin bala main-main sumpah si Saiful telah terkena kepada dirinya sendiri. Walaupun begitu, DSAI akhirnya bersumpah juga….di dalam Dewan Rakyat. Kita juga membantah perlaksanaan dasar PPSMI yang hanya melemahkan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan berharap Gapena akan meneruskan niat mereka untuk menyaman kementerian yang terbabit.

    Perkembangan dunia juga amat menarik, terutamanya apabila Barack Obama disahkan menang menjadi Presiden Amerika Syarikat yang berikutnya. Lebih lucu lagi apabila melihat Presiden yang bakal digantinya dibaling kasut dan dengan itu merumuskan dasar pemerintahan beliau yang jelek dan cetek akal sepanjang lapan tahun yang lepas. Gaza kini sedang mengalami serangan udara daripada tentera Zionis Israel dan kita berdoa agar rakyat Palestin tabah menghadapi kekejaman musuh-musuh Yahudi ini.

    Maka berakhirlah tahun 2008 dan tahun 2009 akan bermula tidak lama lagi.

    31 Dis

    Tiada komen »

    Tiada komen yang ditinggalkan.

    Tinggalkan komen anda