Saya bersetuju dengan petisyen untuk Kempen “Satu Sekolah Untuk Semua”. Sistem vernakular pada masa kini di Malaysia adalah produk daripada dasar “pecah dan perintah” British dan ia wajar dihapuskan. Semua sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan (C) dan Jenis Kebangsaan (T) harus diserapkan ke dalam sistem Sekolah Kebangsaan, di mana bahasa pengantarnya adalah Bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan. Mata pelajaran Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil harus dibenarkan dan diajar sebagai subjek-subjek elektif di sekolah-sekolah kebangsaan.
Memandangkan mereka yang pro-PPSMI mahukan kemajuan yang tinggi di dalam bidang Sains dan Matematik, apa kata kalau kita memperkenalkan dasar Program Pembelajaran Sains Dan Matematik Di Dalam Bahasa Jepun (PPSMJ) pula kepada para pelajar sekolah kita? Lagipun, bukankah kita sudah ada Toshiba, Panasonic, Sony, Philips dan pelbagai lagi jenama barangan elektronik dari negara Nippon? Jadi, apa kata kalau kita sama-sama menyanyikan lagu Nippon ini, mengikut rentak lagu daripada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Miyo! Tokai no sora akete, kyokujitsu takaku kagayakeba;
Tenchi no seiki hatsuratsu to, kibo wa odoru Oyamashima.
Ya, mari kita mempelajari Bahasa Jepun untuk menjayakan projek Jepunisasi dan menjahanamkan masa depan anak-anak kita di dalam matapelajaran Sains dan Matematik!
P.S. Kita perlu mengkaji apakah teknologi yang digunapakai untuk mengaktifkan tikar terbang tersebut. Siap dengan voice activation lagi. Adakah ia teknologi dari negara Nippon?
Saya tiba di stesen LRT Masjid Jamek pada sekitar pukul 1.15 pm dan saya mula bergerak menuju ke Masjid Negara di mana himpunan diadakan. Saya tiba di Masjid Negara dalam pukul 1.30 pm.
Tidak ramai yang berkeliaran pada ketika itu tetapi para peserta perhimpunan sudah mula berkumpul, saya anggarkan dalam seribu orang. Sementara menunggu azan menandakan waktu Zohor masuk, saya melihat ada kumpulan Cina yang juga hadir memberikan sokongan kepada Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).
Kehadiran mereka menambahkan kredibiliti kepada gerakan mansuhkan PPSMI. Ini bukanlah isu mengenai Bahasa Melayu sahaja, malah ia juga memberi kesan kepada bahasa ibunda. Kehadiran mereka langsung tidak disebut di dalam mana-mana mainstream media yang membuat liputan mengenai demonstrasi ini. Apakah alasan mereka yang pro-PPSMI boleh gunakan untuk menerangkan mengapa kumpulan Cina dari Selangor Chinese Assembly Hall tampil untuk memberikan sokongan kepada GMP?
Inilah hasil kajian antarabangsaTrends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) mengenai prestasi pelajar Malaysia secara am dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Sekarang mereka yang pro-PPSMI tidak mempunyai apa-apa alasan lagi untuk mempertahankan dasar yang merosakkan para pelajar dan menggelapkan masa hadapan negara.
Pada 2007, kajian penting antarabangsa mengenai pencapaian Matematik dan Sains (pelajar Gred 8 atau Tingkatan 2) dilaksanakan membabitkan 59 negara oleh Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007).
Hasil kajian 2007 menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan ketara. Skor Matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan sebanyak 34 mata.
Skor Sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003.
Di kalangan 59 negara yang mengambil bahagian dalam kajian TIMSS 2007, yang dilaksanakan Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat itu, ada negara yang skor purata pencapaian pelajarnya meningkat sedikit atau menurun sedikit.
Laporan TIMSS 2007 boleh dimuat turun di sini. Anda masih lagi mahu membantah?
Jika anda benar-benar sayangkan Bahasa Melayu dan ingin mengangkat martabat bahasa yang dahulunya megah sebagai lingua franca di alam Nusantara lama sebelum penjajahan Barat mula bertapak di negara ini, sertailah gerakan untuk memansuhkan PPSMI yang akan mengadakan acara kemuncak sebulan lagi di Istana Negara pada 7 Mac 2009 untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agung.