Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Saya amat bersyukur dan lega dengan keputusan Kementerian Pelajaran memansuhkan dasar PPSMI yang membinasakan dan menghancurkan masa depan rakyat Malaysia. Tiga bulan lepas, saya menyertai Himpunan 100 Ribu Gerakan Mansuhkan PPSMI di Masjid Negara dan berarak menuju ke Istana Negara. Walaupun saya tidak dapat sampai disebabkan halangan oleh Unit Simpanan Persekutuan (selain daripada ditembak gas pemedih mata), namun hasilnya sudah kita lihat pada hari ini.
Akhirnya penguasa yang angkuh sudah mahu mendengar. PPSMI yang langsung tidak menunjukkan sebarang kemajuan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris (mahupun matapelajaran Sains dan Matematik) telah dimansuhkan. Mereka yang pro-PPSMI sudah gagal di dalam niat mereka untuk melemahkan dan melupuskan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi Perlembagaan Persekutuan!
Saya amat gembira dengan keputusan ini, saya akan melakukan tarian moonwalk untuk meraikan kejayaan pemansuhan dasar PPSMI.
Pendapat saya, tidak ada bezanya seorang penyokong dasar PPSMI dengan mereka yang bersetuju dengan cadangan bahawa mengedarkan kondom secara percuma boleh membasmi penyakit AIDS/HIV. Kenapa? Kerana kedua-dua cadangan ini merupakan stop-gap measure sahaja. Ia tidak akan menyelesaikan masalah asal.
Walaupun ada kajian yang menyatakan sebaliknya, mari kita beranggapan bahawa benarlah dasar PPSMI ini berjaya dan menghasilkan para pelajar yang boleh bercakap, menulis dan memahami Bahasa Inggeris dengan baik. Tetapi kesannya adalah terlalu aib kepada status Bahasa Melayu itu sendiri. Segala terminologi, kosa-kata dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan Matematik dan Sains akan menjadi obsolete dan pupus begitu sahaja. Syarikat-syarikat awam tidak lagi perlu mengeluarkan manual atau panduan buku teks di dalam Bahasa Melayu kerana mereka hanya perlu menerbitkan semula karya-karya asal di dalam Bahasa Inggeris. Ilmu akan terbantut di dalam kongkongan Bahasa Inggeris. Apa yang hendak ditakutkan, kerana sudah ada PPSMI!
Sama seperti juga cadangan mengedar kondom secara percuma kepada umum boleh mengekang penyakit HIV/AIDS. Mungkin ada benarnya dan memang betul bahawa memakai kondom boleh mencegah penyakit ini. Tetapi apa yang akan berlaku? Mereka yang mendapat kondom percuma juga mendapat “lesen” untuk melakukan seks rambang dan menganggap bahawa ini dibolehkan. Akhirnya secara tidak langsung, budaya seks akan berkembang secara meluas dan gejala sosial yang lebih besar akan berlaku. Penzinaan menjadi cara hidup. Yang haram sudah menjadi halal dan tidak ada sesiapa akan merasa takut dengan AIDS, sebab sudah ada kondom!
Jadi, apa bezanya perlaksanaan dasar PPSMI dengan pengedaran kondom percuma?
Memandangkan mereka yang pro-PPSMI mahukan kemajuan yang tinggi di dalam bidang Sains dan Matematik, apa kata kalau kita memperkenalkan dasar Program Pembelajaran Sains Dan Matematik Di Dalam Bahasa Jepun (PPSMJ) pula kepada para pelajar sekolah kita? Lagipun, bukankah kita sudah ada Toshiba, Panasonic, Sony, Philips dan pelbagai lagi jenama barangan elektronik dari negara Nippon? Jadi, apa kata kalau kita sama-sama menyanyikan lagu Nippon ini, mengikut rentak lagu daripada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Miyo! Tokai no sora akete, kyokujitsu takaku kagayakeba;
Tenchi no seiki hatsuratsu to, kibo wa odoru Oyamashima.
Ya, mari kita mempelajari Bahasa Jepun untuk menjayakan projek Jepunisasi dan menjahanamkan masa depan anak-anak kita di dalam matapelajaran Sains dan Matematik!
P.S. Kita perlu mengkaji apakah teknologi yang digunapakai untuk mengaktifkan tikar terbang tersebut. Siap dengan voice activation lagi. Adakah ia teknologi dari negara Nippon?
Antara hujah-hujah mereka yang mendokong PPSMI adalah:
Bahasa Inggeris adalah “bahasa ilmu”, kita harus mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris untuk menggalakan perkembangan ilmu.
Mereka yang menolak PPSMI adalah golongan tidak berpelajaran. Tidak sedarkah mereka bahawa Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa?
PPSMI tidak akan melemahkan kedudukan Bahasa Melayu.
Saya tidak bersetuju langsung dengan hujah-hujah bodoh seperti ini. Kalau hendak mengikut tahap pengaruh Inggeris, saya rasa pengaruh Bahasa Inggeris ke atas diri saya adalah lebih tinggi daripada anda, para pendokong PPSMI. English is like a first language to me at home. Saya mengenali Enid Blyton, Sidney Sheldon, Stephen King, C.S. Lewis, Michael Crichton dan Robert A. Heinlein lama sebelum saya mengenali dan membaca A. Samad Said, Othman Puteh, Usman Awang, Khairuddin Ayip dan Shahnon Ahmad. Tetapi saya tetap menentang dasar PPSMI kerana ia adalah suatu cadangan yang bodoh dan tidak masuk akal sama-sekali. Menentang PPSMI bukan bermakna kita menidakkan kedudukan Bahasa Inggeris atau menghalang sesiapa pun daripada mempelajarinya.