Apa yang dikatakan PM Erdogan kepada Shimon Peres?

Terjemahan bebas daripada sedutan ucapan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyib Erdogan, yang membidas kenyataan Presiden Israel Shimon Peres di Forum Ekonomi Dunia, Davos, mengenai Gaza.
Encik Perez, kamu lebih tua daripada saya tetapi suara kamu adalah terlalu kuat. Ini adalah kerana keadaan psikologi pembuat dosa. Suara saya tidak akan sekuat suara anda, jadi fikirkanlah mengenai perkara ini.
Mengenai pembunuhan, kamu sememangnya tahu bagaimana untuk melakukannya. Saya tahu bagaimana kamu membunuh kanak-kanak yang bermain di pantai [Gaza]. Saya tahu dua kenyataan penting yang datang daripada dua orang Perdana Menteri anda. Mereka telah menyatakan, “apabila saya masuk ke dalam Palestin dengan menaiki kereta kebal, saya merasa begitu gembira sekali.” Kamu hanya boleh memberikan angka-angka tetapi saya boleh memberitahu kepada anda nama-nama Perdana Menteri tersebut…barangkali anda semua ingin mengetahuinya juga. Saya juga mengutuk dan mengecam mereka yang menyokong ketidakadilan ini, kerana menepuk tangan untuk mereka yang membunuh kanak-kanak dan orang awam yang tidak berdosa, pada pendapat saya, adalah sangat kejam. Ia juga sebuah krisis manusia, kita tidak boleh mengabaikan kebenaran ini.
Saya telah mengambil banyak nota-nota tetapi saya tidak akan menjawab kesemuanya sekarang ini. Cuma saya ingin menyatakan beberapa perkara: pertama sekali, di dalam kitab Taurat hukum yang keenam menyatakan “Kamu tidak boleh membunuh” namun kita sudah melihat bahawa Israel telah melakukan pembunuhan besar-besaran. Kedua, adalah sangat menarik bahawa seorang penulis Yahudi Gilad Atzmon telah menyatakan “Kebiadapan Israel telah melampaui batas kekejaman”. Juga, kita memetik kenyataan seorang profesor dalam Pengajian Antarabangsa di Universit Oxford, Avi Shlaim — yang pernah menjadi seorang tentera Israel — di dalam suratkhabar The Guardian bahawa “Israel adalah sebuah negara perompak”.
Dari saat ini, Davos sudah berakhir bagi saya dan saya tidak akan kembali ke Davos kerana anda tidak membenarkan saya berucap dengan bebas. Dia [Peres] berucap selama 25 minit manakala anda hanya membenarkan saya bercakap selama 12 minit…ini tidak boleh diterima sama-sekali.
